• Bersama Dato' Dr. Fadzilah Kamsah selepas ceramah "Adakah Aku Punca Masalah di Pejabat"

  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010

  • Masjid di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris

  • Proton Inspira di Buletin Utama TV3

  • Bengkel Penggunaan MyGuru2 | 21 Mei 2011 | Dewan Konvensyen, UPSI

  • Ramalan Jantina Anak: Lelaki atau Perempuan?

Sikap rakan sekerja yang dibenci

SEMASA meraikan Hari Pekerja 1 Mei lepas, timbul isu yang menarik untuk dikupas ketika berbual bersama beberapa teman. Mudah saja. Fikirkan apa perkara paling anda geram atau tidak senang mengenai rakan sekerja anda. Sudah dapat? Apakah kriteria tersebut menepati senarai ‘7 sikap rakan sepejabat yang anda tidak suka’ seperti yang saya senaraikan berikut:

1. Main facebook, Blackberry

Nampak begitu tekun dari kejauhan. Tambah lagi bila komputer itu membelakangkan penyelia. Tapi bila diperhatikan, mata mereka begitu fokus dan sesekali bibir tersenyum. Takkan buat penyata kira-kira boleh tersengih sendirian? Bila disiasat, rupa-rupanya main facebook. Ada yang berutus-utus jawapan dalam pernyataan mereka. Tidak cukup itu, ada pula sembang dalam FB. Jika tidak main FB, tangan mereka tidak lekang dengan telefon pintar BB.

Hendak dilarang sama sekali dengan mengehadkan akses FB kepada kakitangan, tidak berapa molek dalam era IT ini. Maka seharusnya, kakitangan (dan penyelia juga) berpada-padalah bermain FB. Jangan sampai terjejas kerja atau kena tangkap bos!

BAHAYA : Bahasa penulisan dalam FB ada gaya tersendiri. Bila sudah terlalu asyik, surat rasmi pun terkesan perkataan ‘con4m’ (confirm) atau ‘GB’ (good bye).

2. Suka bercakap lucah

Berbeza dengan tanggapan umum, ia bukan kepakaran yang hanya dimiliki oleh orang tua gatal semata-mata tetapi sebenarnya oleh semua peringkat usia dan jantina, mengikut masa dan tempat yang terhidang. Paling mudah ialah bagi rakan sekerja yang sudah setahun duduk dalam pejabat yang sama. Tahap kemesraan telah mengetuk pintu keintiman, kononnya.

Amat menjijikkan bukan sekadar kepada pegawai yang sudah berusia dan menghampiri usia persaraan, berkata-kata lucah atau dua makna kepada teman sepejabat. Lebih meloyakan jika ia adalah pegawai wanita! Ini bukan rekaan, ini betul-betul punya!

Mereka ini bukan tidak tahu kewujudan peraturan anti-gangguan seksual di tempat kerja. Mereka ini mungkin sekadar menyakat (kerana tidak memiliki skil lawak ala-Jozan) dan ingat ia sesuatu yang lucu serta boleh merapatkan hubungan. Walhal, ia hanya mendatangkan rasa hilang hormat dan meluat tahap maksimum orang yang terkena.

BAHAYA : Golongan tua yang kaki cakap lucah ini cenderung untuk berpoligami atau bahasa lain, memang gila seks. Elakkan diri anda bersendirian dalam pejabat atau lif dengan golongan ini, bimbang teori lucah itu bertukar menjadi praktikal pula.

3. Kaki MC

MC atau Sijil Cuti Sakit banyak disalah gunakan. Hujan lebat sikit, terus MC. Ada siaran langsung bola sepak 4 pagi boleh bangun tapi tidak berdaya ke pejabat jam 8 pagi. Ambik MC. Dalam akta buruh memang termaktub hak untuk pekerja meminta MC, atas alasan tulen seperti sakit, keluarga sakit, kematian atau kecemasan lain. Tapi kalau sudah terlampau kerap (terutama selepas cuti umum rasa nak satu hari lagi cuti), tentulah ia menimbulkan syak wasangka.

BAHAYA : Rakan yang kerap MC, memberi kesan kepada anda yang terpaksa menanggung pula kerjanya. Dan bila anda pula betul-betul perlukan MC, anda dapati diri anda pula dicurigai majikan disebabkan kes tipu MC orang lain.

4. Radio Transistor

Golongan ini mungkin pernah mendapat hadiah galakan sastera dalam bidang drama atau penulisan kreatif kerana cerita yang sebenarnya luka di jari, boleh melarat sudah dipotong kaki bila sampai ke telinga anda.

Elakkanlah menjadi bahan fokus mingguan golongan ini kerana walaupun dia mungkin duduk beberapa meja dari anda, jangan terkejut jika pengawal keselamatan di luar bertanya anda pula mengenainya. Cerita dah tersebar!

BAHAYA : Nak elak tak boleh, jadi pandai-pandailah jaga tingkah-laku supaya tidak termasuk dalam Tajuk Berita Utama Radio Transistor. Ia mungkin membabitkan cara anda berpakaian atau cara anda melihat rakan sekerja yang lain. Semuanya boleh jadi bahan menarik!

5. Geng Tidak Puas Hati

Mereka ini adalah pekerja yang sentiasa merungut. Bagi tugasan mudah pun, jadi punca ketidakpuasan yang meruap-ruap. Bagi mereka, semua tugasan adalah tidak setimpal dengan gaji yang dibayar. Mereka mahu gaji Ketua Pegawai Eksekutif.

Dalam mesyuarat, mereka ini jenis yang tidak akan bersuara walau ditanya berulang kali oleh ketua jabatan. Di kafetaria kemudiannya hampir sejam duduk belum habis hujah pembentangan dan ia belum sampai pun ke tahap penggulungan.

Apa sahaja kelemahan, walaupun berpunca dari faktor luaran, syarikat atau jabatan juga disalahkan. Golongan ini biasanya ada pasangan regu. Mereka hanya duduk sesama sendiri dan tidak boleh disertai orang lain kerana butir perbualan mereka hanya dimengerti oleh diri mereka sendiri.

BAHAYA : Macam loji nuklear rosak, mereka ini boleh melampiaskan radiasi kepada rakan sekerja lain dengan sikap negatif mereka yang tidak puas hati kepada syarikat tetapi tidak juga pergi ke syarikat lain yang lebih baik untuk mereka.

6. Egois

Golongan ini memiliki sedikit kelebihan berbanding rakan lain, sama ada daripada segi pendidikan atau harta atau rupa paras. Ia menjadi melarat bila mereka diberi peranan atau kuasa. Kalau benar-benar bertaraf pengurus tidak mengapa, tetapi baru ketua unit pun sudah mempamerkan ciri-ciri Adolf Hitler, memanglah anak buah semua bertekad menjadi komando mensabotaj projek.

Golongan ini sebenarnya sudah lama mengidam jawatan dan bila diperolehi, mahu memastikan anak buah menghafal lagu Frank Sinatra, My Way. Tiada sesiapa boleh memberi pandangan atau pendapat kerana ia bukan ‘cara dia’.

BAHAYA : Walaupun mendakwa dirinya bukan ego, tetapi tutur perkataan dan bahasa badan menidakkan semuanya. Anak buah yang tidak mengikut ‘cara dia’ akan mendapati diri mereka menjadi perantau ke jabatan lain (dipindahkan).

7. Bercakap dalam nada nyaring

Dalam semua organisasi mesti ada watak ini. Sama ada sudah jadi impiannya untuk meraih jawatan `badut pejabat' pun kita tidak pasti. Ada masanya seronok tapi kebanyakan masa jadi pelik dan janggal. Ini terutama bila bahan jenakanya membabitkan soal politik atau peribadi.

Satu lagi spesies berkaitan ialah mereka yang bercakap kuat untuk memberitahu semua bahawa dia sedang bekerja, macam kanak-kanak menghafal sifir 12. Hafal boleh hafal, pusing sikit soalan, belum tentu boleh jawap. Ini lagi bahaya sebab untuk didengar sedang bekerja, tiada jaminan dia benar-benar buat kerja.

BAHAYA : Oleh kerana tarikan graviti yang kuat kesan daripada lontaran vokal orang sebegini, anda yang berada di ukur lilit tiga meja dengannya, pasti turut menjadi pandangan teman sekerja yang lain. Jadi, bila dia mula meninggi suara, beredarlah segera ke mesin fotostat.

Sumber: Utusan Malaysia

0 comments: