• Bersama Dato' Dr. Fadzilah Kamsah selepas ceramah "Adakah Aku Punca Masalah di Pejabat"

  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010

  • Masjid di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris

  • Proton Inspira di Buletin Utama TV3

  • Bengkel Penggunaan MyGuru2 | 21 Mei 2011 | Dewan Konvensyen, UPSI

  • Ramalan Jantina Anak: Lelaki atau Perempuan?

Sikap rakan sekerja yang dibenci

SEMASA meraikan Hari Pekerja 1 Mei lepas, timbul isu yang menarik untuk dikupas ketika berbual bersama beberapa teman. Mudah saja. Fikirkan apa perkara paling anda geram atau tidak senang mengenai rakan sekerja anda. Sudah dapat? Apakah kriteria tersebut menepati senarai ‘7 sikap rakan sepejabat yang anda tidak suka’ seperti yang saya senaraikan berikut:

1. Main facebook, Blackberry

Nampak begitu tekun dari kejauhan. Tambah lagi bila komputer itu membelakangkan penyelia. Tapi bila diperhatikan, mata mereka begitu fokus dan sesekali bibir tersenyum. Takkan buat penyata kira-kira boleh tersengih sendirian? Bila disiasat, rupa-rupanya main facebook. Ada yang berutus-utus jawapan dalam pernyataan mereka. Tidak cukup itu, ada pula sembang dalam FB. Jika tidak main FB, tangan mereka tidak lekang dengan telefon pintar BB.

Hendak dilarang sama sekali dengan mengehadkan akses FB kepada kakitangan, tidak berapa molek dalam era IT ini. Maka seharusnya, kakitangan (dan penyelia juga) berpada-padalah bermain FB. Jangan sampai terjejas kerja atau kena tangkap bos!

BAHAYA : Bahasa penulisan dalam FB ada gaya tersendiri. Bila sudah terlalu asyik, surat rasmi pun terkesan perkataan ‘con4m’ (confirm) atau ‘GB’ (good bye).

2. Suka bercakap lucah

Berbeza dengan tanggapan umum, ia bukan kepakaran yang hanya dimiliki oleh orang tua gatal semata-mata tetapi sebenarnya oleh semua peringkat usia dan jantina, mengikut masa dan tempat yang terhidang. Paling mudah ialah bagi rakan sekerja yang sudah setahun duduk dalam pejabat yang sama. Tahap kemesraan telah mengetuk pintu keintiman, kononnya.

Amat menjijikkan bukan sekadar kepada pegawai yang sudah berusia dan menghampiri usia persaraan, berkata-kata lucah atau dua makna kepada teman sepejabat. Lebih meloyakan jika ia adalah pegawai wanita! Ini bukan rekaan, ini betul-betul punya!

Mereka ini bukan tidak tahu kewujudan peraturan anti-gangguan seksual di tempat kerja. Mereka ini mungkin sekadar menyakat (kerana tidak memiliki skil lawak ala-Jozan) dan ingat ia sesuatu yang lucu serta boleh merapatkan hubungan. Walhal, ia hanya mendatangkan rasa hilang hormat dan meluat tahap maksimum orang yang terkena.

BAHAYA : Golongan tua yang kaki cakap lucah ini cenderung untuk berpoligami atau bahasa lain, memang gila seks. Elakkan diri anda bersendirian dalam pejabat atau lif dengan golongan ini, bimbang teori lucah itu bertukar menjadi praktikal pula.

3. Kaki MC

MC atau Sijil Cuti Sakit banyak disalah gunakan. Hujan lebat sikit, terus MC. Ada siaran langsung bola sepak 4 pagi boleh bangun tapi tidak berdaya ke pejabat jam 8 pagi. Ambik MC. Dalam akta buruh memang termaktub hak untuk pekerja meminta MC, atas alasan tulen seperti sakit, keluarga sakit, kematian atau kecemasan lain. Tapi kalau sudah terlampau kerap (terutama selepas cuti umum rasa nak satu hari lagi cuti), tentulah ia menimbulkan syak wasangka.

BAHAYA : Rakan yang kerap MC, memberi kesan kepada anda yang terpaksa menanggung pula kerjanya. Dan bila anda pula betul-betul perlukan MC, anda dapati diri anda pula dicurigai majikan disebabkan kes tipu MC orang lain.

4. Radio Transistor

Golongan ini mungkin pernah mendapat hadiah galakan sastera dalam bidang drama atau penulisan kreatif kerana cerita yang sebenarnya luka di jari, boleh melarat sudah dipotong kaki bila sampai ke telinga anda.

Elakkanlah menjadi bahan fokus mingguan golongan ini kerana walaupun dia mungkin duduk beberapa meja dari anda, jangan terkejut jika pengawal keselamatan di luar bertanya anda pula mengenainya. Cerita dah tersebar!

BAHAYA : Nak elak tak boleh, jadi pandai-pandailah jaga tingkah-laku supaya tidak termasuk dalam Tajuk Berita Utama Radio Transistor. Ia mungkin membabitkan cara anda berpakaian atau cara anda melihat rakan sekerja yang lain. Semuanya boleh jadi bahan menarik!

5. Geng Tidak Puas Hati

Mereka ini adalah pekerja yang sentiasa merungut. Bagi tugasan mudah pun, jadi punca ketidakpuasan yang meruap-ruap. Bagi mereka, semua tugasan adalah tidak setimpal dengan gaji yang dibayar. Mereka mahu gaji Ketua Pegawai Eksekutif.

Dalam mesyuarat, mereka ini jenis yang tidak akan bersuara walau ditanya berulang kali oleh ketua jabatan. Di kafetaria kemudiannya hampir sejam duduk belum habis hujah pembentangan dan ia belum sampai pun ke tahap penggulungan.

Apa sahaja kelemahan, walaupun berpunca dari faktor luaran, syarikat atau jabatan juga disalahkan. Golongan ini biasanya ada pasangan regu. Mereka hanya duduk sesama sendiri dan tidak boleh disertai orang lain kerana butir perbualan mereka hanya dimengerti oleh diri mereka sendiri.

BAHAYA : Macam loji nuklear rosak, mereka ini boleh melampiaskan radiasi kepada rakan sekerja lain dengan sikap negatif mereka yang tidak puas hati kepada syarikat tetapi tidak juga pergi ke syarikat lain yang lebih baik untuk mereka.

6. Egois

Golongan ini memiliki sedikit kelebihan berbanding rakan lain, sama ada daripada segi pendidikan atau harta atau rupa paras. Ia menjadi melarat bila mereka diberi peranan atau kuasa. Kalau benar-benar bertaraf pengurus tidak mengapa, tetapi baru ketua unit pun sudah mempamerkan ciri-ciri Adolf Hitler, memanglah anak buah semua bertekad menjadi komando mensabotaj projek.

Golongan ini sebenarnya sudah lama mengidam jawatan dan bila diperolehi, mahu memastikan anak buah menghafal lagu Frank Sinatra, My Way. Tiada sesiapa boleh memberi pandangan atau pendapat kerana ia bukan ‘cara dia’.

BAHAYA : Walaupun mendakwa dirinya bukan ego, tetapi tutur perkataan dan bahasa badan menidakkan semuanya. Anak buah yang tidak mengikut ‘cara dia’ akan mendapati diri mereka menjadi perantau ke jabatan lain (dipindahkan).

7. Bercakap dalam nada nyaring

Dalam semua organisasi mesti ada watak ini. Sama ada sudah jadi impiannya untuk meraih jawatan `badut pejabat' pun kita tidak pasti. Ada masanya seronok tapi kebanyakan masa jadi pelik dan janggal. Ini terutama bila bahan jenakanya membabitkan soal politik atau peribadi.

Satu lagi spesies berkaitan ialah mereka yang bercakap kuat untuk memberitahu semua bahawa dia sedang bekerja, macam kanak-kanak menghafal sifir 12. Hafal boleh hafal, pusing sikit soalan, belum tentu boleh jawap. Ini lagi bahaya sebab untuk didengar sedang bekerja, tiada jaminan dia benar-benar buat kerja.

BAHAYA : Oleh kerana tarikan graviti yang kuat kesan daripada lontaran vokal orang sebegini, anda yang berada di ukur lilit tiga meja dengannya, pasti turut menjadi pandangan teman sekerja yang lain. Jadi, bila dia mula meninggi suara, beredarlah segera ke mesin fotostat.

Sumber: Utusan Malaysia

Bajet 2012 dibentang pada 7 Oktober

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Bajet 2012, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Okt, 2011, adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi. Ia akan menjadi satu lagi kejayaan ke arah merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, katanya.

"Marilah kita bekerja bersama-sama dalam memastikan usaha itu menjadi kenyataan," kata Perdana Menteri pada ucapan pembukaannya pada Perundingan Bajet 2012 di Putrajaya hari ini.

Najib berkata usaha merangka Bajet 2012 sangat mencabar.

"Kita perlu bangkit dan meyediakan pendekatan dan penyelesaian yang inovatif," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata tumpuan adalah untuk melaksanakan usaha transformasi ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat. Tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM212 bilion untuk Bajet 2011, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2010. Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi dan RM49.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Sumber: Bernama

Pelarasan gaji: CUEPACS akur kekangan kewangan kerajaan

KOTA BHARU 8 Mei — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap akur jika masalah kewangan dijadikan faktor kerajaan tidak dapat melaksanakan pelarasan gaji kepada lebih sejuta penjawat awam. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pada masa yang sama kerajaan perlu melihat keperluan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kakitangan berjawatan rendah yang terpaksa membuat kerja sampingan.

"Apa pun kita (CUEPACS) akur dengan kekangan kewangan kerajaan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat dan membantu kakitangan yang berjawatan rendah ini untuk mereka meneruskan kehidupan.

"Kira-kira 20 peratus daripada lebih 700,000 yang berjawatan rendah dilaporkan mula membuat kerja sampingan kerana masalah kewangan yang mereka hadapi,” katanya selepas Majlis Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di sini, hari ini.

Omar berkata, CUEPACS sememangnya tidak bersetuju dengan langkah penjawat awam yang mahu membuat kerja sampingan kerana khuatir mereka hilang tumpuan ketika melakukan pekerjaan hakiki itu. Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu membuktikan komitmen mereka dalam membantu transformasi kerajaan sebelum memikirkan soal pelarasan dan kenaikan gaji itu.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Kekosongan Jawatan Bukan Akademik di UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), satu-satunya Universiti Pendidikan di Malaysia dengan ini mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan menyertai kami meneruskan kebitaraan dengan mengisi jawatan-jawatan bertaraf TETAP seperti tersenarai:
  1. Pegawai Pergigian (U48)

  2. Kurator (S48)

  3. Pegawai Psikologi (S48)

  4. Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (F29)

  5. Penolong Pegawai Perubatan (U29)

  6. Penolong Pegawai Sains (C27)

  7. Penolong Pegawai Keselamatan (KP27)

  8. Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (S27)

  9. Juruteknik Komputer (FT17)

  10. Pembantu Akauntan (W17)

  11. Penjaga Jentera Elektrik (R17)

  12. Pembantu Makmal (C17

  13. Tukang K2 (Mekanikal) (R11)

  14. Atendan Kesihatan (U3)

Tarikh tutup permohonan adalah pada 3 Mei 2011 (Selasa). Untuk keterangan lanjut sila klik di sini.

Pelanggan tergamam hidangan patin RM13,000

TEMERLOH 11 April — Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di sini terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000. Menurut seorang daripada kumpulan itu yang enggan namanya disiarkan, beliau membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.

"Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar," katanya kepada Bernama hari ini.

Masakan ikan patin dikatakan mahal sehingga mencecah ribuan ringgit di Temerloh, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.

"Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur," katanya.

Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh. Difahamkan, ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya.

Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul. Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak.

Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai. Katanya, mereka yang tidak mempamerkan tanda harga boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. — BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia Online

Utusan Malaysia Online